Saturday, 2 February 2013

NIKAH TUTUP AURAT, SANDING BUKA AURAT

Setiap kali majlis nikah, ia biasanya dilangsungkan di masjid mahupun di surau. Jadi, di situ biasanya ahli keluarga terdekat dan rakan taulan hadir untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah yang menyatukan dua hati. Biasalah, jika dilakukan di masjid, semua yang hadir perlu mematuhi adab memasuki masjid. Sudah pasti, antara lain yang dipatuhi ialah adab menutup aurat dengan sempurna. Jadi, di situ dapat kita lihat ramai yang hadir cantik menutup aurat khususnya yang perempuan, termasuklah perempuan yang akan dinikahkan. Alangkah indahnya majlis penyatuan hati disertai oleh orang-orang yang patuh pada tuntutan agama. Aurat dijaga, kelakuan diperhati. Si pengantin perempuan elok menutup aurat, duduk tertunduk mengenang hari-hari yang bakal dilalui sebagai isteri sejurus lafaz nikah oleh bakal suaminya disahkan. Namun yang sedihnya, ia hanya setakat majlis nikah itu. Apabila tiba majlis persandingan, tudung hilang entah ke mana, aurat terdedah di sini sana. Tiada lagi kesucian majlis sepertimana yang ada pada majlis nikah sebelumnya. Itu belum lagi dibincangkan hal tingkah laku yang ada kalanya hilang kawalan. Dalam sedar mahupun tidak, banyak mata yang memerhati. Malangnya, bukannya semua yang hadir ke majlis persandingan adalah mahram kepada pengantin. Sudah tentu hadirin terdiri daripada orang-orang yang bukan mahram juga, yang tidak halal mata mereka menjamah aurat pengantin, khususnya yang perempuan. Jika dalam majlis nikah, segala tuntutan agama boleh dipenuhi, mengapa tidak meneruskannya dalam majlis persandingan pula? Apakah ada beza amalan agamamu ketika majlis nikah dan ketika majlis persandingan? Apabila ada beza auratmu kepada yang bukan mahram ketika di masjid dan ketika di luar masjid? Mengapa ada kesedaran bahawa agamamu ialah Islam ketika dinikahkan, tetapi tidak ketika berada di persandingan? Pelik. Tetapi itulah realitinya yang kerap berlaku sekarang. Buat bakal pengantin, sedarlah bahawa Islam mewajibkan umatnya menutup aurat kepada orang yang bukan mahram setiap masa dan tidak kira di mana-mana. Nasihat ini bukan khusus untuk wanita sahaja. Buat keluarga pengantin perempuan, tunjukkanlah cara yang terbaik yang menurut tuntutan Islam dalam menganjurkan majlis. Buat si bakal suami, ketahuilah bahawa sejurus lafaz nikah disahkan, tanggungjawab, dosa dan pahala isteri ditanggung suami. Usahlah menjadi suami yang dayus dengan membenarkan isteri mendedahkan auratnya. Seolah-olah tidak ada makna dan tidak istimewa nikah yang dilafazkan sekiranya mata orang-orang yang bukan mahram berkongsi melihat aurat isterimu.

KENAPA WANITA MUSLIM PERLU MENUTUP AURAT DENGAN SEMPURNA???

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. Sahabat yang dirahmati Allah, Salah satu perkara wajib yang di perintakkan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya adalah menutup aurat. Kewajipan menutup aurat tidak ada bezanya dengan kewajipan menunaikan solat, puasa, zakat dan haji. Di dalam al-Quran surah a-Nur ayat 31 dan surah al-Ahzab ayat 59 jelas menyatakan kewajipan menutup aurat untuk wanita muslim yang telah sampai akil baligh. Penulis lihat semakin ramai wanita sekarang di uji dengan menutup aurat yg sempurna. Ramai yang memakai tudung tetapi masih dikira tidak menutup aurat kerana tidak menjaga beberapa kulit yg terdedah terutama betis atau lengan tangan. Bentuk baju juga kebanyakkannya ketat hingga nampak susuk tubuh. Begitu juga tak ramai wanita yg memakai tudung labuh kerana tudung inilah satu-satu tudung yg menutup dada wanita. Kenapa Wanita Muslim Perlu Menutup Aurat Dengan Sempurna? Ramai wanita muslim hari ini tidak mengambil berat dengan memakai pakaian menutup aurat dengan sempurna. Ramai di antara mereka lebih suka dan terpengaruh dengan ciri-ciri pakaian yang berfesyen semasa terutama fesyen yang datangnya daripada barat. Islam tidak melarang jika sekiranya wanita muslim ingin menggunakan fesyen terkini di zaman moden ini tetapi pakaian tersebut biarlah digunakan daripada kain yang tidak terlalu nipis dan reka bentuk pakaian tersebut mestilah menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan , tidak terlalu ketat hingga menampakkan bentuk tubuh badan. Corak dan warnanya perlulah sederhana tidak terlalu cerah hingga mendatangkan daya tarikan kepada orang yang melihatnya. Jika syarat-syarat tersebut di patuhi maka tidak menjadi masaalah wanita muslimah menampilkan diri dengan pakaian yang memenuhi cita rasa semasa pada masa yang sama tidak bercangah dengan syariat Islam. Sahabat yang dimuliakan, Untuk perbincangan lebih lanjut mengenai aurat wanita perlulah di jelaskan di sisi beberapa kesilapan wanita tentang aurat supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat di perbaikinya. Terdapat beberapa kesilapan wanita tentang aurat : Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja. Kedua : Bertudung tetapi ber’ T-Shirt’ berlengan pendik. Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya. Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’. Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya. Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya. Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung. Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya. Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan. Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan. Kesemua jenis berpakaian yang disebut di atas adalah diharamkan secara sepakat seluruh ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mukminah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan. Sahabat yang dimuliakan, Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat itu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Firman Allah SWT yang bermaksud :”Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir”(Surah an-Nur ayat 31) Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya. Menurut Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang dimaksud ‘perhiasan’ perempuan dalam ayat itu pula, iaitu apa saja yang dipakai berhias dan untuk mempercantik tubuh, baik berbentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan tubuh, ataupun buatan seperti pakaian, perhiasan, make-up dan sebagainya. Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh kerana itu para ulama kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya. Misalnya sahabat besar Nabi SAW seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin. Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama tabien seperti Said bin Jubair, ‘Atha’, Auza’i dan lain-lain. Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.ha, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya. Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram. Namun, kiranya sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, demi menjaga meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita sekarang ini. Lebih-lebih kalau perempuan tersebut mempunyai paras yang cantik yang sangat dikawatirkan akan menimbulkan fitnah. Firman Allah SWT maksudnya : “Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (Surah an-Nur ayat 31) Sahabat yang dihormati, Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadis bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya. Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: 1. Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); 2. Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat , rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian .” (Hadis Riwayat Muslim) Dr. Yusof Al-Qardawi menafsirkan hadis di atas, katanya : “Mereka dikatakan berpakaian, kerana memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, kerana itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini.” ( Kitab Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi) Perkataan ‘bukhtun’ adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut kerana rambutnya ditarik ke atas. Disebalik perkara ghaib, seolah-olah Rasulullah SAW melihat apa yang akan terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini. Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma’ binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Nabi SAW dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan: “Hai Asma’! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini — sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud) Nabi SAW bersabda maksudnya : “Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya).” (Hadis Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245) . Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadis di atas. (Al-Bayan wa At-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831) Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh. Perlu diingat bahawa wanita muslim perlu menjaga suaranya kepada lelaki yang bukan mahramnya. Walaupun seorang wanita bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. sama ada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan. Larangan ini datang dari Firman Allah SWT yang bermaksud : “Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.” (Surah al-Ahzab ayat 32) Sahabat yang dikasihi, Marilah sama-sama kita memberi nasihat kepada kaum muslimat semua samaada isteri, ibu, kakak, adik perempuan, ibu saudara , saudara mara perempuan dan rakan-rakan di pejabat agar mereka sentiasa menutup aurat yang sempurna. Berdasarkan dalil Al-Quran dan al-hadis, amat jelas bahawa isu aurat bukanlah isu remeh dan cabang. Ia adalah termasuk dalam katergori hukum qati’e dan usul. Malah ia juga merupakan salah satu dosa utama yang amat diperjuangkan oleh syaitan. Ini adalah kerana, dengan terbukanya aurat, maka ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, mengandung anak luar nikah, bercerai suami isteri akibat curang, membunuh anak luar nikah, putusnya hubungan keluarga dan pelbagai lagi. Perihal syaitan mensasarkan dosa ‘buka aurat’ ini sebagai dosa pilihan utamanya ada disebutkan dalam Al-Quran dari firman Allah SWT maksudnya : ” Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya yang tertutup dari mereka iaitu auratnya ..” (Surah Al-A’raf ayat 20) ” Wahai anak Adam, telah kami turunkan buat kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan” (Surah Al-A’raf ayat 26) Amat jelas dari ayat ini, penutupan aurat ditujukan kepada sesiapa sahaja yang termasuk dalam kategori anak Adam iaitu manusia. Justeru barangsiapa yang berpaling dari arahan ini, secara langsung ia menjatuhkan tahapnya selari dengan makhluk lain yang tiada cukup kemampuan dan akal bagi menjalankan arahan penutupan aurat. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali ; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, syurga dan neraka juga benar. Sesungguhnya salah satu ciri-ciri ahli syurga adalah akhlak, perbuatan, percakapan dan pakaiannya memenuhi kehendak syariat Allah SWT.

9 TIPS MENUTUP AURAT

Tips Menutup Aurat | Memanglah kita perempuan, bukan disuruh dan diwajibkan pakai tudung labuh yg labuh bulat tu, labuh bawah siku etc. tapi kita diwajibkan menutup aurat dengan sempurna. Iaitu memakai tudung yang tutup dada, tak jarang, tutup rambut, leher, telinga, yang cukup satu set. Termasuklah melonggarkan pakaian, menutup semua anggota kecuali muka dan tapak tangan kepada orang yang bukan muhrim. Tips Menutup Aurat 1. TAHU Langkah pertama ialah ilmu. Penting bagi Muslimah mengetahui batasan aurat, ciri-ciri pakaian yang menutup aurat, siapa mahram dan siapa ajnabi, hukum hakam berkenaan aurat dll. 2. SEDAR Bahawa tuntutan syariah ini amat perlu dan penting untuk dilaksanakan sesempurna mungkin. Jangan sambil lewa dan acuh tak acuh. Soal halal haram adalah perkara besar. 3. SYIAR Setiap agama ada imejnya. Imej wanita Muslimah dapat dikenali melalui ciri-ciri pakaian yang menutup aurat. 4. FUNGSI CERMIN Sebelum melangkah keluar rumah dengan yakin, tanyalah cermin, “Wahai cermin, adakah hari ini aku berpakaian menutup aurat?” 5. ASINGKAN Asingkan pakaian kepada dua kriteria; sesuai atau tidak dipakai di hadapan ajnabi. Pakaian yang seksi misalnya masih boleh dipakai tetapi hanya apabila bersendirian atau di hadapan suami. 6. MALU Wanita yang tidak biasa mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi akan berasa malu, takut, gelisah dan sebagainya walau sekadar bermimpi tidak bertudung. 7. SAHABAT Bersahabat dengan WANITA yang SOLEHAH boleh menguatkan pendirian dan langkah seseorang wanita yang ingin berusaha mengubah penampilan. 8. EKSKLUSIF Semua wanita itu cantik. Jika tidak manakan wanita menjadi senjata iblis melemahkan kaum lelaki. Namun kecantikan dan keindahan tersebut Allah kurniakan sebagai milik eksklusif wanita itu dan suaminya sahaja. Jadi usah dipertontonkan aurat dan perhiasan secara percuma jika suami pun perlu membayar mahar untuk memilikinya. 9. BANYAK MANFAAT Wanita yang menutup aurat hakikatnya akan melangkah keluar rumah dengan selamat. Mereka tidak perlu merisaukan mata liar yang memandang. Kepada siapa aurat boleh diperlihatkan ?? ” Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. ” [ An-Nur : 31 ]

Sunday, 13 January 2013

Mari Sama-sama Kita Memperbetulkan Niat Kita Menutup Aurat

Panorama dunia kini, aurat dipandang sepi, Dibiar terdedah begini, Kerana hilangnya malu dalam diri. Di manakah engkau letakkan maruah ini? Yang menutup rapi, senang berkongsi, Jutaan mata memerhati meneliti, cuba bertanya pada hati. Kerana siapa menutup aurat ini? Penampilan refleksi akhlak. Pakaian lambang peribadi. Luaran yang diri sendiri perlihatkan adalah salah satu penyebab bagaimana 'first impression' manusia terhadap diri kita. Persekitaran mungkin mendesak saya berbicara tentang ini. Luaran terkadang tidak seiring dengan dalaman. Bimbang andai menjadi fitnah pula. Terkadang yang menutup sedikit lebih baik daripada yang menutup banyak. Tetapi manusia itu tetap manusia yang punya kesalahan dan tidak sempurna. Yang punya peluang untuk menjadi lebih baik. Andai berniqob, tonjolkan peribadi yang pandai menghormati hak orang lain. Andai bertudung labuh, tunjukkan peribadi yang mudah menuturkan kata maaf atas kesalahan. Saya suka melihat dia. Dia yang sememangnya dari jurusan yang kebanyakan penuntut satu aliran dengannya memakai 'shawl' dan tudung singkat yang tidak diluluskan. Tetapi dia unik dengan menyarung tudung labuh. Memberi contoh sentiasa berzikir walau dalam majlis formal. Hebat. Bangga punya sahabat sepertinya. Pengalaman. Dari sini ada sesuatu yang saya hendak sampaikan. Mereka. Anda. Kita. Yang bertudung labuh hatta berniqob sekalipun, tunjukkanlah contoh yang baik. Berakhlaklah seperti mana pemakaian. Terkadang disebabkan sikap segelintir yang bertudung labuh mahupun berniqob yang kurang baik, menyebabkan wujud golongan anti tudung labuh terutamanya. Antara faktornya ialah ukhuwah renggang. Daripada sahabat yang mengalami. Masakan pokok akan bergoyang andai tiada angin yang mengusik. Kerana nila setitik, rosak sudah susu sebelanga. Konsepnya sama sahaja dengan Islam. Islam itu adalah satu cara hidup yang benar. Tetapi oleh kerana sikap penganut agamanya sendiri tidak menggambarkan peribadi akhlak yang diajar Islam. Bagaimana mereka yang belum mendapat hidayah dan petunjuk bisa merasa kagum dengan Islam? Tetapi keadaan umat Islam tidak semestinya menggambarkan Islam itu adalah begitu dan begini. Benar, bukan? Jika seorang muslim itu meneguk arak, tidak bermakna Islam mengajar arak itu halal. Lihat. Kesimpulan akhirnya kembali kepada manusia itu sendiri. Jaga penampilan dan peribadi. Saya menghormati seorang kakak yang berniqob ini. Sering sahaja bangun malam dan kata-katanya penuh motivasi. Fikirannya matang. Lihat. Ini baru muslimah berniqob yang hebat. Seorang kakak hafizah bertudung labuh. Wajah dan kata-katanya sahaja mendamaikan hati. Tenang. Hebat. Saya kagum. Seorang kakak bertudung labuh tetapi bukan daripada jurusan agama. Semangatnya dalam dakwah begitu membara sehinggakan saya terasa akan tempiasnya. Dia seorang kakak yang penuh ketenangan dan semangat. Memberi kekuatan kepada diri. Saya banyak belajar pelbagai perkara daripada manusia. Dengan melihat. Merenung sendiri. Ya, sememangnya jurusan tidak menjanjikan apa-apa. Bukan kerana jurusan atau penampilan semata-mata seseorang itu hebat. Ada yang begitu tetapi yang mahu ditekankan adalah peribadi dalam diri. Saya suka mengenali seseorang. Melihat kepada akhlak. Dari situ dapat kita kenali hati budi manusia. Apa yang baik kita lihat pada orang, kita belajar. Apa yang salah kita lihat pada orang, juga kita ambil dan belajar. Dari situ, kita lihat pula diri kita. Ini sebenarnya. Bukan kita lihat keburukan seseorang dan seterusnya membenci. Doa untuk dia. Doa juga buat diri sendiri. Seorang kakak alam maya yang saya kenali. Walau bukan bertudung labuh, fikirannya matang. Beliau mempunyai pendapat yang sama dengan saya. Terkadang mereka yang punya ilmu agama dan lebih menonjol dengan imej soleh atau solehah serta kopiah dan tudung labuh tidak menjanjikan peribadi yang unggul. Itu mungkin kerana ilmu yang ada tidak diamalkan. Mungkin. Lihat kembali diri sendiri bagaimana. Perlu bimbang dengan diri sendiri. Ada juga sahabat yang saya kenali. Tiada pernah bertemu. Perkenalan tanpa sengaja. Dia bukanlah muslimah bertudung labuh. Dia bukanlah pelajar universiti. Tetapi punya semangat seperti mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi. Punya kata-kata seperti pelajar universiti yang mengambil jurusan agama! Peribadinya seperti yang dituntut daripada si pemakai tudung labuh mahupun niqob. Menitiberatkan solat sunat. Kata-kata sering berkait dan mengingatkan saya dengan kebesaran Allah S.W.T. Saya amat menyayangi dia, walau dari kejauhan. Terharu. Pernah mengejutkan saya bangun sahur dengan hanya mesej. Walau tanpa diminta. Menceriakan hari dengan ucapan selamat pagi. Jika saya berjaya menggapai sesuatu, dia benar gembira tanpa rasa dengki. Saya dapat merasakan itu. Hanya mampu senyum melihat fenomena sekeliling. Andai saya bersedih, saya amat percayakan dia untuk meluah rasa gundah. Hairan kerana saya tahu diri sendiri sedikit sukar untuk mempercayai manusia. Sukar benar mahu mencari sahabat yang berfikiran sama seperti diri. Andai persahabatan itu benar ikhlas, pasti sampai ke dalam hati, bukan? Dan saya tahu inilah sahabat sebenar. Senyum. Dunia penuh teka-teki. Atas pentas drama dunia. Berliku. Menarik. Saya lebih suka fokus kepada yang telah sedia sempurna menutup aurat. Saya suka menekankan tentang niat dalam setiap perkara. Seorang gadis yang menutup aurat dengan sempurna. Alhamdulillah. Tetapi bagaimana seandainya memakai jubah dan tudung labuh itu bukanlah kerana Allah? "Wah, cantik aku pakai jubah, mesti ramai lelaki yang tertarik." "Aku pakai niqob ni nampak baik, lain daripada yang lain." Sekadar contoh. Niat merupakan paksi dalam segala amalan. Setiap apa yang kita lakukan di dunia adalah hanya kerana Allah. Kita menutup aurat kerana Allah. Kita menyarung pakaian sebegitu bukan mahu bergaya dan ingin menyarung baju-baju yang cantik. Bukan itu yang cuma berlegar dalam fikiran. Mengikut arus fesyen moden semasa walaupun jubah. Tetapi katakan "Aku menutup aurat ini kerana Allah. Aku memakai baju begini kerana Allah." Andai niat lain daripada matlamat sebenarnya, bagaimana amalan itu pada pandangan Allah? Ada junior saya di UIA ini berkongsi mengatakan mahu berubah dalam penampilan. Senang dengan luahan hatinya. Dia punya hasrat ke arah itu. Tetapi terasa sedikit sukar untuk memakai pakaian seperti baju kurung kerana lebih selesa menyarung seluar. Tidak salah. Asal konsep menutup aurat itu ditepati. Asasnya longgar dan tidak jarang. Tudung dilabuhkan menutupi dada. Sudah cukup. Tidak semestinya perlu memakai baju kurung dan menyarung jubah itu baru dikatakan menutup aurat dengan sempurna. Tetapi sudah pasti kita mahu yang terbaik bukan? Andaikan analogi makanan yang terhidang di atas meja. Memilih untuk ditutup dengan akhbar. Itu pun sudah cukup untuk menghalang lalat-lalat daripada menghinggapi makanan. Tetapi sudah pasti lebih baik andainya ditutup dengan tudung saji. Lebih terjamin dan selamat. Kerana tidak seperti akhbar yang ringan dan mudah terbang dibawa angin. Bisa menangkap maksud saya? Andai terdetik mahu melakukan kebaikan, bersegeralah. Andai benar payah, ingatlah kematian. Peringatan bahawa kita nantinya akan ditanya dan dipertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di dunia. Andai benar susah, cari sahabat yang menyokong dan berada dalam suasana tarbiah solehah. Cari kekuatan di situ. Saya percaya anda boleh! Usah ditayang umum. Sayang benar andainya muslimah yang cantik berkeadaan menutup aurat dengan sempurna memaparkan gambar di laman-laman sosial. Terus terang saya katakan di Facebook terutamanya. Duhai muslimahku sayang, simpanlah fotomu. Ya, saya memahami. Terkadang segelintir mereka hanya mahu berkongsi aktiviti yang dilakukan bersama sahabat. Tetapi usahlah diupload ke laman sosial. Mungkin gambar beramai-ramai masih boleh dipertimbangkan. Tetapi mesti difikir kembali saat ingin meng'upload' foto yang jelas memperlihatkan setiap inci wajah. Lihat. Ada mata-mata yang punya penyakit dalam hatinya terseksa. Apakah mahu gambar itu disimpan lelaki-lelaki yang melihat kerana tertarik akan kecantikan? Simpanlah yang berharga itu buat suamimu. Usah ditunjuk, anda sudah sedia cantik. Tidak kasihankah kepada 'dia' yang menunggu entah di mana? Jaga diri untuk dia. Lakukannya kerana Allah. Pesan saya. Deletelah. Saya sayang benar anda, anda dan anda. Maaf andai ada hati yang terluka. Masih hingga saat sekarang, pilihan di tangan sendiri. Menutup aurat itu wajib. Ia satu perintah daripada Allah. Pencipta kita. Oleh itu, kita yang menyedari diri ini hanya hamba, patuhilah suruhan-Nya. Susah? Mesti taat juga. Andainya seperti solat. Malas? Memilih untuk meninggalkan solat. Andai malas, menunggu untuk rajin dan ikhlas, baru melaksanakan solat? Ketahuilah, ikhlas itu tidak akan datang tanpa permulaan tindakan! Kuatkan hati untuk berubah sekarang! Menutup aurat itu cukup mudah. Jangan memakai pakaian yang ketat dan jarang. Tutup aurat bukan membalut aurat. Menutup aurat itu tidak bermaksud mesti memakai baju kurung dan jubah tetapi asal sahaja konsep menutup aurat itu dipatuhi, mencukupi. Namun, kejarlah yang terbaik. Andai diri ini sudah sempurna memakai jubah atau kebiasaan memakai baju kurung beserta tudung labuh, saat ini mula teropong hati. Untuk siapakah kita lakukan itu? Untuk menarik hati-hati lelaki supaya jatuh cinta? Untuk menonjolkan imej solehah sebaik mungkin agar mata-mata yang memandang mengatakan kita ini baik? Lihat, musuh durjana itu pakar dalam membisik. Jaga niat. Sama-sama berpesan. Untuk diri sendiri juga.

Pengertian Aurat, Hijab, Jilbab Dan Niqab

Assalamualaikum... Adalah suatu perkara yang indah jika seseorang itu berhijrah untuk memahami dan melaksanakan tuntutan berhijab. Namun dewasa ini perkara atau hukum hijab ini seolah-olah dianggap sebagai peredaran fesyen yang sekadar menjadi sebutan dan trend. Pihak yang memberi pengaruh dan ikutan semestinya dari golongan selebriti disebabkan oleh faktor populariti. Namun yang demikian, perkara hijab dan jilbab ini merupakan suatu tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan. Apa yang merisaukan adalah pemahaman terhadap tuntutan ini disalah ertikan dengan pelaksanaan yang sarkastik semata-mata. 01.AURAT Aurat merupakan istilah Arab yang bermaksud bahagian anggota badan yang wajib ditutup (haram jika dipamerkan) kepada orang asing (ajnabi) yang bukan muhrim. Diperjelaskan lagi, batas aurat juga merangkumi jenis pakaian yang tidak menonjolkan bentuk tubuh badan. Secara dasarnya dinyatakan bahawa batas aurat bagi lelaki adalah di antara pusat hingga ke lutut. Berlainan pula dengan aurat yang ditekankan kepada golongan wanita. Aurat bagi kaum wanita merangkumi: Di hadapan saudara lelaki (muhrim) diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali kepala dan tangan. Ketika bergaul sesama wanita muslim aurat bagi wanita itu adalah dari pusat hingga ke lutut Ketika bergaul di kalangan wanita bukan muslim adalah diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan pergelangan tangan. Namun bagi sesetengah pendapat para ilmuan batas aurat wanita muslim kepada wanita bukan muslim adalah sama dengan batas aurat ketika bergaul sesama muslim Apabila berhadapan dengan lelaki yang bukan muhrim pula diwajibkan menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan Aurat ketika solat adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan telapak tangan Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa suara juga merupakan aurat bagi kaum wanita. "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (terjemahan langsung adalah: 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada: Suami mereka atau Bapa mereka atau Bapa mertua mereka atau Anak-anak mereka, atau Anak-anak tiri mereka atau Saudara-saudara mereka atau Anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau Anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau Perempuan-perempuan Islam atau Hamba-hamba mereka atau Orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan Kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." - [Surah An Nur: Ayat 31] 02.HIJAB Pelaksanaan hijab adalah perkara wajib yang diperjelaskan secara nyata di dalam Al-Quran. Secara umumnya hijab itu membawa maksud cara menutup aurat bagi lelaki dan juga perempuan dengan sempurna. "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." - [Surah Al-A'raaf: Ayat 26] 03.JILBAB Jilbab adalah tuntutan dalam pelaksanaan hijab yang sebenar. Perkara ini dijelaskan dengan penurunan ayat Al-Quran dari petikan surah Al-Ahzab. Jilbab merupakan kaedah atau fesyen pakaian yang labuh. Jika dilihat kepada revolusi wanita Islam masa kini, fesyen pemakaian tudung labuh adalah teramat kurang sekali untuk dilihat. Malahan di negara Malaysia ini, golongan yang bergelar ustazah juga kurang dilihat mengenakan pakaian berunsur jilbab. "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - [Surah Al-Ahzab: Ayat 59] 04.NIQAB Niqab adalah sehelai kain yang digunakan untuk menutupi muka seorang wanita kecuali mata yang lebih dikenali sebagai "purdah". Pemakaian niqab bagi seorang wanita menjadi persoalan para cendekiawan sama ada ianya wajib ataupun tidak. Namun begitu, penggunaan purdah dipersetujui bahawa adalah sangat dicadangkan. PENUTUP Hukum menutup aurat adalah wajib bagi setiap insan yang bergelar muslim. Namun, pelaksanaan hukum ini tidak mendapat perhatian oleh kebanyakan umat Islam dewasa ini. Walaupun kita berada di dalam sebuah negara yang diiktiraf sebagai negara Islam, tetapi tiada undang-undang khusus yang mewajibkan etika menutup aurat. Oleh yang demikian, perihal hukum menutup aurat mula dipandang sebagai hukum yang boleh diringan-ringankan. Sedangkan hakikatnya hukum menutup aurat ini sememangnya diketahui sebagai WAJIB bagi umat Islam, tetapi begitu sukar memenuhi tuntutan hukum ini sebagai tunjang kekuatan iman...