"Sesungguhnya orang yang berjuang di jalan Allah ibarat berjalan di atas sayap para malaikat":)
Sunday, 13 January 2013
Sejauh Mana Usaha Kita Melindungi Aurat
Apabila berbicara tentang aurat, selalunya kita memfokuskannya kepada kaum wanita. Adakah mereka sahaja yang wajib menjaga dan menutup aurat? Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Sebenarnya, dalam hal-hal berkaitan aurat, kedua-duanya tidak terkecuali daripada kewajipan menjaga dan menutup aurat. Bagaimanapun, kaum wanita sering dipandang berat akan hal ini kerana pada wanita ada tarikan sehingga ia boleh menimbulkan fitnah.
Walaupun isu aurat sering dibahaskan dan menjadi topik perbualan dalam kehidupan seharian, namun ia dipandang sepi oleh umat Islam sendiri.
Jika cetek ilmu sekalipun, tidakkah mereka memerhatikan mengapa ada Muslim dan Muslimah yang begitu menjaga dari aspek pemakaian mereka tanpa mendedahkan aurat dan mengapa pula kita dengan ringkasnya memakai kemeja-T tanpa lengan bagi wanita, berseluar pendek dan tidak mengenakan tudung?
Walaupun ramai yang sudah tahu tentang hukum larangan membuka aurat akan tetapi mungkin ada yang terkeliru dan salah faham akan konsep menutup aurat dalam Islam atau pun sengaja buat-buat tidak faham (membuka aurat dengan sengaja). Masing-masing mempunyai hak sendiri dalam menentukan cara hidup, namun itulah silapnya.
Solat Dengan Pakaian Harian
Menurut Pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia , Dr. Marsufah Jalil, aurat adalah sesuatu yang mengaibkan. Sekiranya kita membuka aurat tersebut, maka ia akan menyebabkan keaiban dalam masyarakat. Dalam Islam, aurat mempunyai had-hadnya iaitu aurat wanita sesama wanita Muslim, aurat wanita Muslim dengan wanita non-Muslim dan aurat wanita dengan lelaki mahram dan bukan mahram.
"Sesetengah wanita beranggapan menutup aurat itu cukup sekadar memakai tudung serta memakai pakaian yang menutup tubuh sahaja. Sedangkan ia masih tidak memenuhi ciri-ciri yang digariskan dalam Islam iaitu memakai pakaian yang ketat, jarang dan menampakkan bentuk tubuh badan."
Tutup atau Balut Aurat
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Apabila seorang wanita itu menjaga maruahnya, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, dan mentaati suami, maka, Allah permudahkan jalannya untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang diinginkannya." - Riwayat Ahmad
Wanita adalah kaum yang amat dilindungi dalam Islam dan wanita amat istimewa dalam agama Islam itu sendiri. Martabat dan maruah wanita amat dititikberatkan sehingga mendapat keutamaan berganda sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya mengenai manusia yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu."
Itu merupakan satu bukti bahawa wanita adalah golongan yang diangkat nilainya dalam Islam berbanding lelaki. Bukan bermakna golongan lelaki tidak mempunyai kepentingan dalam Islam, tetapi wanita umpama permata yang sangat bernilai yang mana wanita juga sering disebut sebagai perhiasan dunia. Namun, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Maka, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyeru golongan wanita untuk menjaga peribadi dan menjadikan keperibadian itu sebagai landasan kehidupan dunia.
Wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan kerana itu boleh menjadi seorang isteri, kekasih, dan teman kepada suami serta menjadi ibu dan rakan kepada anak-anak. Apabila suami menjadi ketua bagi keluarga, si isteri pula akan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga di samping sentiasa berada di sisi suami sebagai penyokong paling kuat. Wanita sebagai satu ciptaan Yang Maha Esa yang dikurniakan sikap lemah-lembut namun sebaliknya, wanita boleh berperanan sehingga mampu untuk menggoncang dunia.
Penulis yakin bahawa para pembaca mengetahui akan kisah Yasir dan Sumayyah dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Perjalanan hidup pasangan suami isteri ini telah banyak digarap dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai bahan bacaan mahupun sebagai kisah animasi yang menggambarkan suasana kehidupan Islam pada zaman mereka. Mereka rela berkorban nyawa demi mempertahankan agama Islam sehingga dijanjikan tempat di syurga Allah kelak. Malah, Sumayyah turut digelar sebagai wanita yang mampu menggoncang dunia dengan pengorbanan yang telah beliau lakukan meski pun terpaksa menyaksikan kematian suami dan anak di hadapan mata.
Wanita sedemikianlah yang perlu dijadikan contoh dan idola dalam kehidupan. Andai sahaja ingin menjadikan wanita-wanita terkenal dunia sebagai sumber refleksi diri, haruslah tidak melampaui batas kehidupan. Aspek keperibadian perlulah menjadi keutamaan kerana aspek ini merupakan cerminan keseluruhan setiap individu. Meski cantik menawan, andai aspek keperibadian diabaikan maka kecantikan itu tidak mempunyai nilai yang baik.
Seharusnya idola bagi setiap individu muslim haruslah daripada masyarakat Islam itu sendiri. Andai lelaki, haruslah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Demikialah seorang wanita muslim, maka adalah tidak wajar jika beliau sendiri kurang mengaplikasikan ajaran serta cara hidup seorang muslimah dalam kehidupan.
Apabila diajukan persoalan mengenai kewajipan menutup aurat, sesetengah wanita muslim bijak mengeluarkan hujah masing-masing. Namun, hujah semata-mata tidak akan memberi makna jika diri sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh,seorang wanita akan memberi alasan bahawa seru belum sampai untuk dirinya memakai tudung dan akan dihujahkan juga bahawa tidak wujud prinsip paksaan dalam Islam. Bagaimana pula jika seru kematian terlebih dahulu memanggil diri sebelum seru untuk menutup aurat itu menjengah?
Menutup aurat juga tidak semestinya memakai tudung, waima memakai selimut yang melindungi dan menutup bahagian tubuh yang wajib ditutup juga sudah di anggap menutup aurat dengan sempurna. Segelintir wanita muslim juga memberikan alasan tidak tahu untuk menggayakan tudung apabila ditanya mengapa mereka tidak menutup aurat (rambut) sedangkan Islam tidak menggariskan sebarang syarat untuk menggayakan tudung melainkan syarat bahawa tudung yang dipakai mestilah menutup bahagian dada dan tidak terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk leher.
Kini, terdapat wanita yang memakai tudung tetapi bahagian tubuh yang lain dibiar terdedah. Sebagai contoh, tudung yang dipakai diangkat tinggi sehingga menampakkan dada agar kelihatan seksi dan menggoda serta kain yang terbelah sehingga menampakkan betis dan peha. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka""
(Surah An-nur ayat 31)
Justeru, pemakaian tudung sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam yang telah menggariskan panduan penutupan aurat yang hanya boleh memperlihatkan telapak tangan dan wajah bagi wanita.
Akhir-akhir ini, ramai juga yang berpakaian 'membungkus aurat' dan bukannya menutup aurat. Ini kerana ramai wanita muslimah memakai pakaian yang menutup aurat tetapi mengikut bentuk badan seperti jeans dan blouse yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Pemakaian handsock dengan T-shirt berlengan pendek juga telah menjadi satu trend dalam kalangan wanita muslim. Inilah yang dikatakan sebagai membungkus aurat walau pada zahirnya aurat itu sudah dihalang daripada pandangan para ajnabi.
Dalil lain yang menunjukkan bahawa hanya bahagian wajah dan tapak tangan sahaja yang boleh didedahkan kepada golongan ajnabi seorang muslimah ialah sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya.Rasulullah s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda yang bermaksud,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya"
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Pemakaian tudung yang tidak menepati syarak sememangnya sangat ditegah dalam Islam dan Allah menyediakan hukuman untuk setiap daripadanya. Bagi pakaian yang mendedahkan dada, wanita itu akan digantung di atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka. Manakala paha dan betis yang sengaja didedahkan itu pula akan menjadi daging panggang dan dibakar api neraka. Astaghfirullah... pedihnya tidak tergambar.
Hari ini kita melihat wanita dijadikan sebagai cagaran utama dalam perkembangan pelbagai bidang yang majoritinya tidak bermodalkan faedah dan manfaat kepada wanita itu sendiri. Dalam pembangunan industry seni tanahair seperti perfileman dan nyanyian contohnya, wanita dijadikan sebagai tarikan utama dengan penampilan yang mendedahkan aurat yang seharusnya hanya didedahkan kepada individu tertentu sahaja seperti ibu bapa, suami, anak-anak serta adik-beradik.
Bukan sahaja berpenampilan tidak sopan, sesetengah filem juga menjadikan wanita sebagai pelakon bagi watak tidak bermoral seperti pelacur serta pekerja di kelab malam. Situasi sedemikian bukan sahaja boleh ditonton dalam filem-filem antarabangsa malahan filem dan drama tanahair turut memaparkan adegan-adegan tersebut. Aksi-aksi erotik, lucah dan mengghairahkan yang dipaparkan oleh para pelakon wanita contohnya, menjadi tarikan utama kepada para penonton.
Tindakan pengarah-pengarah filem bertaraf antarabangsa yang banyak mengetengahkan golongan wanita sebagai tarikan dalam garapan filem mahupun drama mereka kini telah menjadi ikutan kepada beberapa penggiat seni perfileman tanahair. Malah, ada antara filem-filem tempatan yang memaparkan aksi-aksi ranjang antara pelakon wanita dan lelaki dan kedua-duanya diketahui umum sebagai Muslim. Malah para pengarah serta krew-krew yang terlibat majoritinya adalah beragama Islam. Astaghfirullah al-'azim, di manakah kesedaran mereka akan dosa dan pahala? Apakah mereka menganggap dosa dan pahala itu sebagai perkara kedua selepas ganjaran wang ringgit dan populariti?
Ringkasnya, seorang wanita harus mengetahui akan nilai dan kepentingan hak serta maruah mereka lebih-lebih lagi jika bergelar wanita muslim. Islam itu tidak seharusnya digunakan pada nama. Islam itu agama yang indah dan Islam juga merupakan suatu cara hidup yang menjanjikan ketenangan jiwa andai betul caranya. Asas kehidupan muslim adalah perkara utama yang perlu diambil kira kerana setiap sesuatu itu ada permulaannya. Asas keimanan, akidah, akhlak dan muamalat adalah antara perkara yang tidak seharusnya di pandang remeh oleh setiap individu muslim. Asas-asas inilah yang akan membina jati diri mulia dan bernilai tinggi dalam sebuah kehidupan sebagai individu muslim.
- Artikel iluvislam.com
Yang Bertudung Bukan Pilihan, Yang Menutup Aurat Menjadi Idaman
Bismillahirahmanirahim
" Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung !"
" Haa? Kenapa?"
" Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki. Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan RasulNya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.
Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59]
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung ? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudungpun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
" Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet ! hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika di tanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat dikhalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.
" Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milihpun tiada guna."
Ya.. Jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hambaNya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Demikianlah perempuan yang tidak mentaati Allah dengan menjalankan Islam secara sepenuhnya akan berkahwin dengan lelaki yang berperwatakan sepertinya. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan RasulNya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.
- Artikel iluvislam.com
Aurat Wanita Dari Al-Quran dan Hadis
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka,
atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An-Nur, 31)
1. Bulu Kening
-Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.
2. Kaki (tumit kaki)
-"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.
3. Wangian
-"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).
4. Dada
-"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)
5. Gigi
-'Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.' (Riwayat At-Thabrani)
-"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah"(Riwayat Bukhari dan Muslim).
6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: 'Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari).
7. Tangan
-"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya"(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).
8. Mata
-"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya." (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).
9. Mulut (suara)
-"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik."( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, "Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah).
10. Kemaluan
-"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. "(An Nur : 31).
-"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar).
-"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).
11. Pakaian
-"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ahzab : 59).
12. Rambut
-"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
- Artikel iluvislam.com
Friday, 4 January 2013
Aurat Yang Perlu Dijaga
♥ Hal terindah dari wanita adalah bukan pada saat dia TERSENYUM bahagia, tetapi saat AIRMATANYA jatuh dalam rantaian DOANYA...
♥ Bukan kerana KATA-KATANYA yang INDAH,
tetapi saat BIBIRNYA basah dengan BERZIKIR...
♥ Bukan kerana KECANTIKAN yang mempesona,
tetapi kerana SUJUDNYA pada YANG MAHA ESA...
♥ Bukan kerana KEELOKAN TUBUHNYA,
tetapi kerana KETEGUHANNYA dalam menjaga AURATNYA...
Subscribe to:
Posts (Atom)




