"Sesungguhnya orang yang berjuang di jalan Allah ibarat berjalan di atas sayap para malaikat":)
Sunday, 13 January 2013
Menutup Aurat Itu Seksi??
Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.
Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.
Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status seksi?
Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.
Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?
Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.
Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.
Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.
Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.
Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.
Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.
Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan nafsu orang lain.
Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.
Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.
Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.
Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.
Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.
Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.
Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.
Aurat Ditutup, Benteng Diri Terbentuk
Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saat ini ku tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri istiqamah.
Sahabatku semuslimah. Ingin ku kongsikan pengalaman ini selepas berhijrah. Beberapa tahun yang lalu, aku adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup sekadar bertudung walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat bukan menutup aurat. Pada masa yang sama, solat ku juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah kadang-kadang tertinggal. Bukan aku tidak sedar semua itu adalah salah, tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan hamba Allah.
Benar, ketika itu setiap kali aku keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang liar memandang pada. Pernah juga aku diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai gangguan lagi yang aku hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan sesungguhnya aku tidak tenang dengan situasi begitu.
Namun, pada suatu ketika, aku mula terfikir sejenak, apakah cara hidup aku seperti ini akan memberi kebahagiaan kepada ku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan, pada saat itu, aku mula bersahabat baik dengan seorang rakan sekuliah aku. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya agak sempurna, auratnya tertutup rapi.
Aku berasa sangat tenang melihat dia. Secara perlahan-lahan tanpa disedari, aku mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai kasut yang bertutup. Aku terpandang diri aku di cermin, ya Allah..
Sememangnya diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu.. Pakaian yang longgar memudahkan aku untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.. Sesuatu yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri aku tidak menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! ke mana sahaja yang aku pergi, tiada lagi gangguan!
Selain itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat aku semakin terjaga. Walaupun aku tidak tahu adakah sempurna solat ku pada-Nya, namun solat ku tidak lagi sering tertinggal seperti sebelum ini.
Alhamdulillah, kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam kehidupan ku. Selain itu, aku juga turut membiasakan diri dengan berniqab. Supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada sesiapa. Yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi tatapan buat suami tercinta kelak.
Namun, belum dapat di istiqamahkan, kerana faktor tempat belajar dan keluarga. Apa yang pasti, setiap yang berlaku dengan izin-Nya itu telah banyak mengubah kehidupan ku. Aku berasa amat bahagia dan tenang dengan diri ku yang baru.
Semoga penghijrahan ini diredhai Allah dan istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman sebilikku, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata keranaNya. Semoga aku dan wanita di luar sana dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insya-Allah.
Adik-adik dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti ku dahulu, ayuhla kita berhijrah! Insya-Allah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik.
"Ingatlah, harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara... Kecantikan dan keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna"
Mengapa Harus Menutup Aurat
Tidak berhijab dan mempamerkan perhiasan akan mengundang fitnah bagi lelaki. Seorang wanita apabila mempamerkan bentuk tubuh dan perhiasannya di hadapan lelaki bukan mahram, jelas akan mengundang perhatian kaum lelaki yang berhidung belang dan serigala berbulu domba.
Jika ada kesempatan mereka pasti akan mencari mangsa dengan ganas laksana singa sedang kelaparan.
Seorang penyair berkata:
"Berawal dari pandangan lalu senyuman kemudian salam disusul pembicaraan lalu berakhir dengan janji dan pertemuan."
Sesungguhnya Allah memerintahkan hijab untuk menghilangkan pelbagai macam fitnah (kerosakan). Jika pelbagai macam fitnah redup dan lenyap, maka masyarakat yang dihuni oleh kaum wanita berhijab akan lebih aman dan selamat dari fitnah.
Sebaliknya, masyarakat yang dihuni oleh wanita yang gemar bertabarruj (berdandan secara berlebihan), dedah aurat dan keindahan tubuh, sangatlah mudah terjebak dengan ancaman pelbagai fitnah dan gangguan seksual serta nafsu syahwat yang membawa malapetaka dan kehancuran yang sangat besar.
Jasad yang menampakkan bentuk tubuh badan akan jelas memancing perhatian dan pandangan kaum lelaki. Itulah tahap pertama bagi penghancuran dan kerosakan moral dan peradaban sebuah masyarakat.
"Sungguh akan merasakan manisnya Iman, seseorang yang telah rela Allah sebagai Rabb, Islam sebagai agama, dan Muhammad sebagai Rasul utusan Allah."(HR Muslim)
"Setiap umatku (yang bersalah) akan dimaafkan, kecuali orang yang secara terang-terangan (berbuat maksiat)."(Hr.Bukhari)
Sementara wanita yang mendedahkan aurat dan keindahan tubuh sama ertinya dia telah berani menampakkan kemaksiatan secara terang-terangan.
Jangan menelanjangi diri dengan berpakaian ketat atau sempit.
Bagaimana kita menyayangi orang lain sedangkan diri sendiri tidak mampu kita sayangi.
Sudahkah anda berhijab?
Kebenaran hanya milik Allah....
Sejauh Mana Usaha Kita Melindungi Aurat
Apabila berbicara tentang aurat, selalunya kita memfokuskannya kepada kaum wanita. Adakah mereka sahaja yang wajib menjaga dan menutup aurat? Bagaimana pula dengan kaum lelaki? Sebenarnya, dalam hal-hal berkaitan aurat, kedua-duanya tidak terkecuali daripada kewajipan menjaga dan menutup aurat. Bagaimanapun, kaum wanita sering dipandang berat akan hal ini kerana pada wanita ada tarikan sehingga ia boleh menimbulkan fitnah.
Walaupun isu aurat sering dibahaskan dan menjadi topik perbualan dalam kehidupan seharian, namun ia dipandang sepi oleh umat Islam sendiri.
Jika cetek ilmu sekalipun, tidakkah mereka memerhatikan mengapa ada Muslim dan Muslimah yang begitu menjaga dari aspek pemakaian mereka tanpa mendedahkan aurat dan mengapa pula kita dengan ringkasnya memakai kemeja-T tanpa lengan bagi wanita, berseluar pendek dan tidak mengenakan tudung?
Walaupun ramai yang sudah tahu tentang hukum larangan membuka aurat akan tetapi mungkin ada yang terkeliru dan salah faham akan konsep menutup aurat dalam Islam atau pun sengaja buat-buat tidak faham (membuka aurat dengan sengaja). Masing-masing mempunyai hak sendiri dalam menentukan cara hidup, namun itulah silapnya.
Solat Dengan Pakaian Harian
Menurut Pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia , Dr. Marsufah Jalil, aurat adalah sesuatu yang mengaibkan. Sekiranya kita membuka aurat tersebut, maka ia akan menyebabkan keaiban dalam masyarakat. Dalam Islam, aurat mempunyai had-hadnya iaitu aurat wanita sesama wanita Muslim, aurat wanita Muslim dengan wanita non-Muslim dan aurat wanita dengan lelaki mahram dan bukan mahram.
"Sesetengah wanita beranggapan menutup aurat itu cukup sekadar memakai tudung serta memakai pakaian yang menutup tubuh sahaja. Sedangkan ia masih tidak memenuhi ciri-ciri yang digariskan dalam Islam iaitu memakai pakaian yang ketat, jarang dan menampakkan bentuk tubuh badan."
Tutup atau Balut Aurat
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Apabila seorang wanita itu menjaga maruahnya, menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, dan mentaati suami, maka, Allah permudahkan jalannya untuk memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang diinginkannya." - Riwayat Ahmad
Wanita adalah kaum yang amat dilindungi dalam Islam dan wanita amat istimewa dalam agama Islam itu sendiri. Martabat dan maruah wanita amat dititikberatkan sehingga mendapat keutamaan berganda sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w ketika didatangi oleh seorang lelaki yang bertanya mengenai manusia yang selayaknya dilayan dengan sebaik-baiknya: "Ibumu, ibumu, ibumu dan ayahmu."
Itu merupakan satu bukti bahawa wanita adalah golongan yang diangkat nilainya dalam Islam berbanding lelaki. Bukan bermakna golongan lelaki tidak mempunyai kepentingan dalam Islam, tetapi wanita umpama permata yang sangat bernilai yang mana wanita juga sering disebut sebagai perhiasan dunia. Namun, sebaik-baik perhiasan ialah wanita solehah. Maka, adalah penting bagi kita untuk sentiasa menyeru golongan wanita untuk menjaga peribadi dan menjadikan keperibadian itu sebagai landasan kehidupan dunia.
Wanita memainkan peranan penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan kerana itu boleh menjadi seorang isteri, kekasih, dan teman kepada suami serta menjadi ibu dan rakan kepada anak-anak. Apabila suami menjadi ketua bagi keluarga, si isteri pula akan bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga di samping sentiasa berada di sisi suami sebagai penyokong paling kuat. Wanita sebagai satu ciptaan Yang Maha Esa yang dikurniakan sikap lemah-lembut namun sebaliknya, wanita boleh berperanan sehingga mampu untuk menggoncang dunia.
Penulis yakin bahawa para pembaca mengetahui akan kisah Yasir dan Sumayyah dalam sejarah perkembangan dunia Islam. Perjalanan hidup pasangan suami isteri ini telah banyak digarap dalam pelbagai bentuk sama ada sebagai bahan bacaan mahupun sebagai kisah animasi yang menggambarkan suasana kehidupan Islam pada zaman mereka. Mereka rela berkorban nyawa demi mempertahankan agama Islam sehingga dijanjikan tempat di syurga Allah kelak. Malah, Sumayyah turut digelar sebagai wanita yang mampu menggoncang dunia dengan pengorbanan yang telah beliau lakukan meski pun terpaksa menyaksikan kematian suami dan anak di hadapan mata.
Wanita sedemikianlah yang perlu dijadikan contoh dan idola dalam kehidupan. Andai sahaja ingin menjadikan wanita-wanita terkenal dunia sebagai sumber refleksi diri, haruslah tidak melampaui batas kehidupan. Aspek keperibadian perlulah menjadi keutamaan kerana aspek ini merupakan cerminan keseluruhan setiap individu. Meski cantik menawan, andai aspek keperibadian diabaikan maka kecantikan itu tidak mempunyai nilai yang baik.
Seharusnya idola bagi setiap individu muslim haruslah daripada masyarakat Islam itu sendiri. Andai lelaki, haruslah yang berpegang teguh kepada ajaran Islam serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Demikialah seorang wanita muslim, maka adalah tidak wajar jika beliau sendiri kurang mengaplikasikan ajaran serta cara hidup seorang muslimah dalam kehidupan.
Apabila diajukan persoalan mengenai kewajipan menutup aurat, sesetengah wanita muslim bijak mengeluarkan hujah masing-masing. Namun, hujah semata-mata tidak akan memberi makna jika diri sendiri tidak mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh,seorang wanita akan memberi alasan bahawa seru belum sampai untuk dirinya memakai tudung dan akan dihujahkan juga bahawa tidak wujud prinsip paksaan dalam Islam. Bagaimana pula jika seru kematian terlebih dahulu memanggil diri sebelum seru untuk menutup aurat itu menjengah?
Menutup aurat juga tidak semestinya memakai tudung, waima memakai selimut yang melindungi dan menutup bahagian tubuh yang wajib ditutup juga sudah di anggap menutup aurat dengan sempurna. Segelintir wanita muslim juga memberikan alasan tidak tahu untuk menggayakan tudung apabila ditanya mengapa mereka tidak menutup aurat (rambut) sedangkan Islam tidak menggariskan sebarang syarat untuk menggayakan tudung melainkan syarat bahawa tudung yang dipakai mestilah menutup bahagian dada dan tidak terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk leher.
Kini, terdapat wanita yang memakai tudung tetapi bahagian tubuh yang lain dibiar terdedah. Sebagai contoh, tudung yang dipakai diangkat tinggi sehingga menampakkan dada agar kelihatan seksi dan menggoda serta kain yang terbelah sehingga menampakkan betis dan peha. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:-
"Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka""
(Surah An-nur ayat 31)
Justeru, pemakaian tudung sedemikian adalah bertentangan dengan syariat Islam yang telah menggariskan panduan penutupan aurat yang hanya boleh memperlihatkan telapak tangan dan wajah bagi wanita.
Akhir-akhir ini, ramai juga yang berpakaian 'membungkus aurat' dan bukannya menutup aurat. Ini kerana ramai wanita muslimah memakai pakaian yang menutup aurat tetapi mengikut bentuk badan seperti jeans dan blouse yang ketat dan menampakkan bentuk badan. Pemakaian handsock dengan T-shirt berlengan pendek juga telah menjadi satu trend dalam kalangan wanita muslim. Inilah yang dikatakan sebagai membungkus aurat walau pada zahirnya aurat itu sudah dihalang daripada pandangan para ajnabi.
Dalil lain yang menunjukkan bahawa hanya bahagian wajah dan tapak tangan sahaja yang boleh didedahkan kepada golongan ajnabi seorang muslimah ialah sabda Rasulullah kepada Asma' binti Abu Bakar dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya.Rasulullah s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda yang bermaksud,
"Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya"
(Hadis riwayat Abu Dawud)
Pemakaian tudung yang tidak menepati syarak sememangnya sangat ditegah dalam Islam dan Allah menyediakan hukuman untuk setiap daripadanya. Bagi pakaian yang mendedahkan dada, wanita itu akan digantung di atas api neraka dengan pusat dan buah dadanya diikat dengan rantai neraka. Manakala paha dan betis yang sengaja didedahkan itu pula akan menjadi daging panggang dan dibakar api neraka. Astaghfirullah... pedihnya tidak tergambar.
Hari ini kita melihat wanita dijadikan sebagai cagaran utama dalam perkembangan pelbagai bidang yang majoritinya tidak bermodalkan faedah dan manfaat kepada wanita itu sendiri. Dalam pembangunan industry seni tanahair seperti perfileman dan nyanyian contohnya, wanita dijadikan sebagai tarikan utama dengan penampilan yang mendedahkan aurat yang seharusnya hanya didedahkan kepada individu tertentu sahaja seperti ibu bapa, suami, anak-anak serta adik-beradik.
Bukan sahaja berpenampilan tidak sopan, sesetengah filem juga menjadikan wanita sebagai pelakon bagi watak tidak bermoral seperti pelacur serta pekerja di kelab malam. Situasi sedemikian bukan sahaja boleh ditonton dalam filem-filem antarabangsa malahan filem dan drama tanahair turut memaparkan adegan-adegan tersebut. Aksi-aksi erotik, lucah dan mengghairahkan yang dipaparkan oleh para pelakon wanita contohnya, menjadi tarikan utama kepada para penonton.
Tindakan pengarah-pengarah filem bertaraf antarabangsa yang banyak mengetengahkan golongan wanita sebagai tarikan dalam garapan filem mahupun drama mereka kini telah menjadi ikutan kepada beberapa penggiat seni perfileman tanahair. Malah, ada antara filem-filem tempatan yang memaparkan aksi-aksi ranjang antara pelakon wanita dan lelaki dan kedua-duanya diketahui umum sebagai Muslim. Malah para pengarah serta krew-krew yang terlibat majoritinya adalah beragama Islam. Astaghfirullah al-'azim, di manakah kesedaran mereka akan dosa dan pahala? Apakah mereka menganggap dosa dan pahala itu sebagai perkara kedua selepas ganjaran wang ringgit dan populariti?
Ringkasnya, seorang wanita harus mengetahui akan nilai dan kepentingan hak serta maruah mereka lebih-lebih lagi jika bergelar wanita muslim. Islam itu tidak seharusnya digunakan pada nama. Islam itu agama yang indah dan Islam juga merupakan suatu cara hidup yang menjanjikan ketenangan jiwa andai betul caranya. Asas kehidupan muslim adalah perkara utama yang perlu diambil kira kerana setiap sesuatu itu ada permulaannya. Asas keimanan, akidah, akhlak dan muamalat adalah antara perkara yang tidak seharusnya di pandang remeh oleh setiap individu muslim. Asas-asas inilah yang akan membina jati diri mulia dan bernilai tinggi dalam sebuah kehidupan sebagai individu muslim.
- Artikel iluvislam.com
Subscribe to:
Posts (Atom)




